Sunday, July 8, 2012

Redha Kehilangan Matahari...Syukur Anugerah Pelangi


KEBAHAGIAN…Apakah itu ’kebahagiaan’….???
Bahagia belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, ataukah duduk memadu kasih dengan isteri dan anak-anak ataukah dikelilingi rakan-rakan yang baik budi pekerti ataukah mempunyai saudara mara yang amat menyanyangi dan menyanjungi kita??

Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya. Ada pakar-pakar motivasi menyatakan: ”Anda adalah apa yang anda fikirkan tentang diri anda”. Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: ”Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini merupakan kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga merupakan kebaikan.” Hadis riwayat Imam Muslim.

Orang banyak mengatakan: ”Bahagia itu adalah kepuasan hati.” Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagimana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah terpenuhi dengan sempurna. Selamilah dasar hati kita, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat redha. Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam.

Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang ’sesuai’ untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.

Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ’tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ’terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah SWT: ”Allahpun reda ke atas diri mereka dan merekapun reda dengan pemberian-Nya.” Surah Al-Bayyinah: 8.

Rabi’ah pernah ditanya oleh seorang muridnya: “Bilakah seseorang itu reda kepada Allah?” Beliau menjawab: “Apabila kegembiraannya datang ketika dia ditimpa musibah sama seperti ketika dia mendapat nikmat.” Begitulah dalamnya ‘hubungan hati’ seorang hamba kepada Allah SWT. Kadang-kadang kita tak mahu sesiapapun terguris hatinya oleh tangan kita, tetapi pernahkah kita terfikir siapakah yang sesungguhnya paling banyak disakiti oleh perbuatan kita? Allah SWT Maha Sabar dan Maha Lembut kepada hamba-hamba-Nya, berulang kali kesalahan yang sama dilakukan oleh seorang hamba namun Dia Maha Pengampun, Penyayang dan Pemurah. Dosa-dosa kita dibalas dengan kurniaan nikmat dan limpahan rahmat. Ya Allah,sesungguhnya Dia Maha Pengasih buat kita….begitu juga saya!!!

Tidakkah kita malu merungut atas ketentuan Allah SWT? Tusukan duri di dalam hati sememangnya menyakitkan, melalui pergaulan kita dengan orang lain tentunya ada yang mengecewakan, melukakan bahkan mencabar kesabaran. Tidakkah kita sedar semua yang berlaku adalah ketentuan Allah dibenci orang, diumpat , diherdik , didengki dan pelbagai masalah dalam pergaulan yang memberi tekanan kepada jiwa dan perasaan kita.

Redha bukan bermakna menyerah dan berputus asa kepada takdir, tidak mahu berusaha dan berikhtiar untuk mendapat kebaikan dan kebahagiaan dalam kehidupan seterusnya. Sifat begini sungguh bertentangan dengan hakikat reda yang diamalkan oleh Baginda SAW. Sepertimana perkataan Syaikhul Islam Ibnu Taymiyah: ”Rasulullah SAW meminta rasa reda sesudah berlaku takdir kerana pada saat itu telah demikian nyata hakikat reda, sedangkan reda sebelum berlakunya takdir yang sedemikian itu hanyalah tekad dan keinginan untuk reda apabila takdir berlaku kepada diri baginda SAW nanti. Kerana sesungguhnya hakikat reda adalah sesudah berlakunya takdir yang ditentukan.”

Reda juga bermakna tidak menentang apa yang ditentukan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya, bahkan tidak sedikitpun mengeluh atau mempunyai keinginan terhadap sesuatupun selain apa yang telah ditakdirkan oleh-Nya. Umar bin Abdul Aziz pernah berdoa: ”Ya Allah jadikanlah aku reda dengan qadak-Mu dan berikanlah keberkatan di dalam qadar-Mu sehingga aku tidak suka mendahulukan sesuatu yang Engkau akhirkan dan mengakhirkan sesuatu yang Engkau dahulukan.”

Apabila jiwa kita reda, hati mula merasai lapang dan wajah kita berseri menghadapi kehidupan, segala sesuatu pasti akan dapat terkawal dengan baik. Melalui ibadat hati ketenteraman akan dirasa, tetapi ia tidak semudah yang dibayangkan. Ia perlu kepada berdoa dan mengikut proses penyembuhan yang jalannya umpama mendaki pendakian yang tinggi. Sesungguhnya reda kepada Allah SWT adalah satu pintu daripada pintu-pintu cinta kita kepada Allah SWT. Bukankah seorang kekasih sentiasa reda ke atas perbuatan kekasihnya? Siapa pun kita dimata manusia, Allah berhak keatas diri kita sebagai hamba-Nya.

Semuanya baik, baik dan baik. Apa-apa yang Allah SWT pilihkan untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah SWT telah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas’ud RA apabila ditanya: ”Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?” Beliau menjawab: ”Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?” Masyaallah, rupanya banyak ‘nikmat’ yang cuba kita nafikan. Kita semua dijadikan sebagai makhluk yang miskin, lalai dan tidak memahami sesuatu pun tetapi Allah menganugerahkan kita dengan harta, ilmu dan iman. Belum cukupkah itu semua untuk menjadikan kita hamba-Nya yang redha dan syukur dengan ketenatuan-Nya ?? Hitunglah nikmat Allah pada setiap tarikan nafas dan hembuskannya dengan redha dan syukur yang tak terhingga.

Semua kenikmatan terlalu susah untuk disyukuri apabila ujian Allah datang. Hal ini diungkapkan dalam surah al-Fajr ayat 15 dan 16 yang bermaksud: “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku.”

Sesungguhnya kesedihan itu adalah tanda tidak redha dari kita, sering berpunca daripada hilangnya nikmat yang Allah SWT berikan kepada manusia. Musibah atau pun dugaan seperti ini jika diterima dengan hati yang redha, kekuatan rohani dengan keimanan dan kemampuan mengawal perasaan serta sikap yang positif dan berani akan menjadi tidak bererti pada diri yang terkena musibah.

Yakinilah kalimah Allah yang Maha Suci ini bahawa: “Setiap kesusahan ada kemudahan,” mendung dan ribut hujan akan hilang oleh pelangi yang menawan. Kita perlukan sikap berani dalam menerima setiap ketentuan. Kekecewaan dalam kehidupan hanyalah suatu proses bagi mendapatkan kebahagiaan .Jika kita menerimanya sebagai kebaikan dari Allah maka akan jadi baiklah kesan ketentuan itu. Tetapi jika kita meraung dengan penuh kemarahan dan tidak mahu menerimanya, akan datanglah kemurkaan Allah. Antara bentuk kemurkaan-Nya adalah kita dibiarkannya berputus asa, menyakiti diri sendiri, bahkan kita akan derita. Tanda kemurkaan Allah juga adalah Dia membiarkan kita dengan tidak diberinya hidayah atau petunjuk untuk memperbaiki keadaan yang berlaku ketika itu. Elok juga jika kita renungkan kata-kata hikmah ini: “Redalah kamu dengan nikmat Allah yang sedikit nescaya Ia reda kepada amalmu yang sedikit.”

Ubatilah kesedihan serta redha diatas apa yang ditentukan oleh-Nya untuk kita dengan berbuat sesuatu yang bermanfaat. Mulakan usaha ini dengan mengatur masa dan aktiviti yang baik. Buatlah jadual aktiviti seharian dengan teratur, kerana masa begitu bernilai. Jangan rehatkan diri terlalu lama mengenang nasib kerana ingatan kepada kesedihan kita akan kembali dan akan menghalang langkah mencipta redha dan syukur. Memaksa hati khusyuk walaupun pada ibadat yang sedikit, itu lebih memadai kerana ketenangan terdapat disitu.

Sembahyang lima waktu pada hakikatnya mengingatkan diri kita kepada alam akhirat. Jadikan tikar sembahyang seakan-akan titian sirat, kain sembahyang ibarat kafan, di kanan syurga, di kiri neraka, di hadapan timbangan amal dan di belakang syaitan musuh yang dahsyat. Maka kita akan memujuk pada diri sendiri: ”Jangan bersedih atas musibah di dunia kerana kengerian dan kedahsyatan akhirat lebih menakutkan berbanding dengannya.” Kesedaran hati tentang kehadiran dan pengamatan Allah kepada kita itulah dia redha dalam khusyuk. Betapa indahnya seseorang yang sentiasa diperhatikan kekasihnya, didengar segala keluhannya, dijanjikan dengan syurga yang penuh kenikmatan serta disembuhkan lukanya dengan kepuasan beribadat kepada-Nya. Alhamdulillah….berilah ketenangan itu. Ketenangan dan kebahagiaan ada dalam redha kita. Mintalah keampunan dari-Nya diatas khilaf kita.

Membandingkan musibah pada diri kita dengan musibah orang lain yang lebih dahsyat dan menyedihkan. Betapa beruntungnya kita yang masih dikurniakan nikmat hidup untuk bertaubat kepada Allah. Sentuhan ajaib Allah pada hati kita sehingga kita menyedari kesilapan sendiri itulah pertolongan-Nya. Musibah ini umpama hilangnya sebutir bintang, bukankah masih ada berjuta yang masih berkilauan? Allah mengambil yang sedikit dan memberi terlalu banyak pada kehidupan kita. Ya..benar-benar belaka jika direnungkan. Syukur…syukur kehadrat-Mu ya Allah…..

Bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu wahai hati, itulah tanda redha yang sebenar-benarnya. Sambutlah hari esok dengan keceriaan kerana hidup ini terlalu berharga untuk ditangisi….

No comments: